Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah kurniaNya, pihak Pentadbiran UIAM telah mengembalikan kerusi perwakilan kepada pelajar-pelajar INSTED. Walau bagaimanapun, jumlah kerusi dan kaedah pemilihan perwakilan tersebut berbeza daripada kebiasaannya. Jika sebelum ini kita memiliki dua kerusi dengan pemilihan melalui kaedah pilihanraya, kali ini hanya satu kerusi diberikan melalui kaedah pelantikan oleh pihak pentadbiran. Dengan erti kata lain, berdasarkan pencalonan nama-nama yang dihantar ke Pejabat Hal-Ehwal Pelajar, pihak pentadbiran INSTED akan melantik seorang yang terbaik daripada mereka melalui kaedah syura.
Memandangkan kita tidak melalui sistem pilihanraya, maka pada 11 Januari 2010, telah ada pihak-pihak tertentu yang mencetuskan kontroversi menerusi notis yang bertajuk GURU CAKNA dan risalah HARAPAN yang berunsur provokasi dan sindiran terhadap pihak pentadbiran dan para pelajar INSTED. Memandangkan isu ini semakin hangat, maka pihak BEDSA merasa terpanggil untuk memberikan penjelasan lanjut.
Sejarah dan Latarbelakang Kerusi Perwakilan INSTED
Untuk pengetahuan anda, sebelum ini terdapat dua kerusi perwakilan yang dipertandingkan di INSTED melalui pilihanraya. Tradisi tersebut kekal sehinggalah tahun 2006/2007 (boleh rujuk ke poster lama SRC di papantanda tingkat 3 INSTED).
Pada 2007/2008, kerusi INSTED tiada dalam senarai kerusi perwakilan. Penjelasan yang diterima daripada pihak Pentadbiran UIAM adalah kerana kita bertaraf Institut, iaitu berbeza daripada kerusi lain-lain perwakilan (atas nama Kulliyyah).
Kurang berpuas hati dengan alasan tersebut, barisan kepimpinan BEDSA 2008/2009 telah menghadiri “Student-Admin Dialogue” yang dianjurkan oleh SRC 2008/2009, namun jawapan yang diberikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Dato’ Hamidon Abdul Hamid, sama sahaja iaitu perlembagaan UIAM mencatatkan hanya Kulliyyah yang mempunyai perwakilan pelajar.
Usaha BEDSA tidak terhenti di situ. Dengan sokongan Timbalan Pengarah HEP INSTED, Dr. Suhailah Hussien, kami mengemukakan permohonan kerusi perwakilan INSTED bagi tahun 2008/2009. Respon awal yang kami terima, kita akan memperoleh satu kerusi menerusi pelantikan, namun apabila pilihanraya diumumkan INSTED masih lagi tertakluk bawah perwakilan yang sama dengan Kuliyyah IRKHS. Ini bermaksud, sama seperti tahun sebelumnya, kita dikehendaki mengundi calon dari Kulliyyah IRKHS.
Sebagai respon terhadap keputusan Pentadbiran UIAM itu, BEDSA telah melancarkan memorandum bagi memastikan hasrat pelajar sampai ke pengetahuan pihak atasan. Kami juga turut mengutus surat memohon penjelasan dari Pejabat Timbalan Rektor HEP. Tetapi surat tersebut tidak mendapat jawapan kerana jawatan Timbalan Rektor HEP, baru sahaja dikosongkan.
Selepas pelantikan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood sebagai Timbalan Rektor HEP, BEDSA terus memperjuangkan isu ini. Memandangkan pendekatan beliau yang lebih berdiplomatik, kali ini BEDSA mengambil pendekatan berkerjasama dengan SRC dalam permohonan kerusi INSTED. Pada September 2009, SRC dan Presiden-presiden Kulliyyah-Based Societies telah bermesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara (merangkap Presiden UIAM), Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Timbalan Rektor HEP. Satu kertas cadangan bagi pindaan jumlah kerusi bagi semua Kulliyyah telah diusulkan, termasuk permohonan dua kerusi INSTED.
Maklumbalas daripada pihak atasan sangat positif. Mereka komited untuk meneliti dan mengkaji kemungkinan untuk meluluskan kerusi bagi INSTED.
Situasi Semasa bagi Kerusi Perwakilan INSTED
Sebaik pengumuman Pilihanraya Kampus 2009/2010 dibuat, kami menerima maklumbalas muktamad bahawa kerusi INSTED tiada dalam senarai kerusi yang dipertandingkan. Sebaliknya, INSTED akan memiliki satu kerusi perwakilan melalui pelantikan.
Walaupun INSTED tiada pilihanraya, namun pelajar-pelajar masih bebas dan berpeluang mencalonkan sesiapa sahaja calon yang dirasakan berpotensi, ke Pejabat HEP INSTED. Sebagai langkah proaktif, sebelum keputusan tersebut disahkan Pentadbiran UIAM, BEDSA telah mengedarkan newsletter pada hari Khamis (7 Januari 2010) bagi mencari beberapa calon yang berkebolehan untuk dihantar ke pihak HEP INSTED. Memandangkan tiada calon yang tampil sendiri, BEDSA telah menghantar nama beberapa pelajar yang berpotensi dan berpengalaman dalam organisasi pelajar sebagai calon.
Jumlah pelajar INSTED tidaklah terlalu ramai. Justeru itu, dengan calon-calon yang sudah sedia terkenal di kalangan pelajar-pelajar dan Pentadbiran INSTEAD, ia memudahkan lagi penilaian bagi pelantikan tersebut.
Pendirian BEDSA
Para pelajar sekalian, pihak BEDSA faham hasrat anda yang inginkan pilihanraya. Kami juga berkongsi hasrat yang sama. Terdapat berita bahawa antara punca kerusi INSTED pernah ditarikbalik ialah kontroversi yang melibatkan politik. Setelah berjuang dan menunggu selama dua tahun, takkan kita hendak mengulangi sejarah tersebut hanya kerana tiada pilihanraya? Memang pilihanraya ini isu yang penting, tapi kita harus sedar ada matlamat lain yang harus kita utamakan ketika ini. Apa yang dirisaukan, jika ada pihak yang bertindak luar batasan, kerusi SRC kita hilang ke mana, status Kulliyyah entah ke mana. Dalam memperjuangkan hak kita, carilah jalan yang paling selamat, jalan yang tidak menjejaskan hak orang lain.
Untuk makluman para pelajar, INSTED kini dalam proses dinaiktaraf kepada Kulliyyah. Status tersebut sudah lama menjadi matlamat pentadbiran INSTED, pensyarah-pensyarah, dan para pelajar kita sendiri. Sejajar dengan perlembagaan UIAM yang memperuntukkan dua kerusi bagi setiap Kulliyyah, maka pihak BEDSA berharap sahabat-sahabat sekalian bersabar. Buat sementara, terima sahaja kerusi pelantikan ini dengan hati terbuka. Insya-Allah tahun hadapan kita akan perbaiki situasi ini. Jika ada sebarang rasa tidak puas hati, luahkan dengan cara rasional dan beretika. Bersemuka dan berbincang dengan pihak atasan dengan cara berhemah, bukan dengan cara “baling batu sembunyi tangan”. Jika kita berhikmah, Insya-Allah pihak Pentadbiran INSTED bersikap terbuka mendengar suara pelajar.
Akhir kata, siapa pun calon yang dilantik nanti, seluruh warga INSTED haruslah memberi sokongan padu kerana dia adalah duta kita. Semoga calon tersebut dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada warga INSTED dan juga warga UIAM. Sekian, terima kasih.
-16 Januari 2010, oleh Lukman bin Mohd Uzir, Presiden BEDSA 2009/2010 -
Poll : Should Reproductive Health subject be introduced in school?
dari tinta Mr. Presiden..
Posted by BEDSA's admin at Monday, January 25, 2010 0 comments
Pilihanraya kampus IIUM
Sebagai menggantikan tampok pimpinan yang lalu, UIAM akan mengadakan satu pilihanraya kampus sebagai menyambung warisan kepimpinan. Musim pilihanraya ini akan diadakan tidak berapa lama lagi mulai sekarang. Berita baik yang dapat editor sampaikan di sini ialah (Institut Pendidikan UIAM)INSTED akan mempunyai sebuah kerusi jika sekiranya pihak pengurusan mempersetujuinya.
Sebagai salah seorang pemegang undi yang bakal menunaikan tanggungjawab, editor mewakili pihak BEDSA menyarankan agar kita memilih calon yang betul-betul mempunyai kewibawaan yang akan membela mahasiswa kearah melahirkan insan yang berkualiti dari segi akhlak,sahsiah dan agama.
Keputusan terletak di tangan anda. Anda yang menentukannya...
Posted by BEDSA's admin at Thursday, January 07, 2010 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)