ARKIB : 06/12/2010
pendidikan@utusan.com.my
Pendidikan kesihatan, reproduktif mulai 2011
Istilah pendidikan seks secara umumnya mungkin boleh membawa kepada satu persepsi atau pemahaman bahawa ia hanya layak untuk diketahui oleh golongan dewasa sahaja.
Sebahagian besar masyarakat tidak mahu anak-anak mereka yang mentah didedahkan dengan perkara itu malah kebanyakan ibu bapa sendiri malu atau tidak mahu untuk membincangkan mengenai pendidikan seks sebagai asas pemahaman anak- anak mereka.
Maka, tidak hairanlah jika banyak pihak terutamanya golongan ibu bapa akan melatah dan memberi pandangan negatif apabila Kementerian Pelajaran mengambil keputusan untuk memperkenalkan pendidikan tersebut di sekolah rendah bermula tahun hadapan.
Harus diingat bahawa pendidikan seks atau istilah sebenarnya Pendidikan Kesihatan, Reproduktif dan Sosial itu bukanlah bermaksud pendidikan mengenai teknik hubungan kelamin atau perkara-perkara yang tidak perlu diketahui oleh kanak-kanak.
Ia lebih menjurus kepada asas terhadap perkembangan badan, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.
Pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial yang akan diperkenalkan ini termasuk dalam subjek Pendidikan Kesihatan di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu (tahun satu hingga tiga) Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang akan bermula pada Januari 2011.
Subjek lain yang terdapat di bawah Modul Teras Asas ini termasuklah Pendidikan Jasmani, Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Pendidikan Islam/Moral.
Elemen perkembangan manusia yang terdapat dalam pendidikan kesihatan, reproduktif dan sosial itu bermaksud pendedahan mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia manakala perhubungan pula mendedahkan mengenai sifat kasih sayang dan persahabatan.
Pendedahan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa turut diajar kepada murid. Sementara itu, kebolehan untuk membuat keputusan pula menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.
Kesihatan dan tingkah laku seksual akan menyentuh amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan AIDS. Manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat. Hal berkaitan perundangan turut diberi penekanan.
Oleh yang demikian, stigma masyarakat yang menganggap pendidikan seks tidak sesuai untuk golongan bawah umur harus dikikis agar pemahaman asas itu dapat diserap oleh kanak-kanak seterusnya mendidik mereka dengan betul.
Pendedahan awal seperti ini adalah perlu bagi perkembangan mental kanak-kanak agar mereka membesar dengan pengetahuan penting yang diperlukan seterusnya mampu menghindari mereka daripada gejala sosial.
Guru-guru yang terlibat untuk pengajaran subjek tersebut telah diberi kursus sementara bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid.
Masyarakat khususnya ibu bapa disaran menyokong dan memberi kerjasama terhadap pembaharuan yang dilakukan ini supaya pelaksanaannya berjalan dengan baik dan lancar.
Dalam KSSR Tahap Satu, terdapat dua lagi modul selain Modul Teras Asas iaitu Modul Teras Tema dan Modul Elektif.
Modul Teras Tema memperkenalkan subjek baru iaitu Dunia Kesenian yang memberi penekanan terhadap Dunia Seni Visual dan Dunia Muzik serta satu lagi subjek iaitu Dunia Sains dan Teknologi.
Modul Elektif pula terdapat subjek Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Tamil SK, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.